Wednesday, June 28, 2006

NARHANSTRA 2.6 : Narnia Sirh (dari kacamata penulis)

Perempuan adalah makhluk ajaib bagi lelaki. Hawa adalah ketakjuban Adam. Dan perempuan cantik adalah mukjizat bagi lelaki. Berjuta puisi dan lagu dah ditulis tentangnya. Lalu Narnia Sirh kamu tanya?

Ah, Narnia Sirh adalah perempuan yang aku kenal dan aku tidak kenal. Narnia Sirh puteri raja Haitur itu imej bidadari dalam mimpi setiap lelaki. Aku hanya narator, Narnia Sirh punya roh sendiri apabila menghambur dari kelenjar imaginasi serebrumku. Ia kadang mencedera lobus-lobus frontal lalu aku jadi lelaki aneh atau pengidap neorotik kata Freudian. Narnia Sirh adalah pagi dingin, adalah matahari dan bulan, adalah cahaya api yang meliuk-liuk. Benar dia puteri raja, tapi dia tak pernah berkhayal putera katak atau Sang Sapurba Taramberi Teribuana yang turun dari keinderaan. Cintanya adalah Anjas Ankara Non, lelaki rebelius yang egois dan tak berguna dan keras hatinya. Dan tak punya masa depan. (Amboi!)
Aku pernah bercakap-cakap dengannya sewaktu mengunjungi istana Haitur. (Oh, ya. Kadangkala kami sebagai narator akan melawat alam imagin kami sendiri, kalau anda tidak tahu.)

“Warna kegemaran anda?”
Senyum sinikal, aduh, seperti matahari sewaktu hujan panas.
“Err...maksud saya warna yang anda paling suka?”
“Kamu ni penulis amatur ya?”

Setelah itu aku sedar anti-tipikalnya lebih besar daripada yang aku sangka. Ia di luar kawalan dan jangkaan perwatakan yang aku imaginkan.

Tuesday, June 27, 2006

Sajak-sajak 20

AKU BELUM SAMPAI SYORGA

Air dari pili rosak yang jatuh
setitik-setitik jatuh
ke rumput
kan membuat ia subur
dan matahari jadi terang
dan burung melagu girang
kerana aku percaya begitu
aku melihat langit biru
aku tahu aku
belum sampai syorga
(aku melihat ada awan lurus terbentuk
melintang di ruang angkasa
kerna ada kapal terbang merentasinya)


BAPA

Tangan kasar bapa
adalah sutera
bila menyentuh hati kami
dan setelah bapa pergi
ia tetap disitu
seperti selimut
setiap kali dan setiap hari
dingin datang


PEKERJA AM DAN PEKERJAAN-PEKERJAAN AM

Terlalu am
Dan kamu akan lupakan dia
Seperti pohon-pohon yang kamu tonton
Dari tingkap kereta yang bergerak
Atau ingati sebagai
Perkara-perkara am
Seperti amnya kamu
Sebagai makhluk
Bukan sebagai manusia
Ketika dia mengemop kaki lima

Monday, June 26, 2006

NARHANSTRA 2.5 : Monolog Anjas Ankara Non di atas kuda hitamnya

Kau tanya aku apa perasaannya? Emm... seperti bangsat, ha ha. Entah, aku cuma menikam pedangku ke dada musuh atau memenggal lehernya supaya dia mati, tidak ada falsafah sebaliknya, yang bersembunyi seperti pheonik di balik awan, atau seperti hujung hidungmu yang ternampak absurd dari mata sendiri. Dan aku tak menikmatinya dengan baik. Sungguh, walaupun aku ini hulubalang yang tugasnya membunuh dan terbunuh.
Gementar? Ya. Takut Mati? Ha ha, ya. ( Dia melibas-libas pedangnya sambil tersenyum, senyum tu macam sedikit malu) Semua orang takut mati. Betul! semua orang takut mati, itulah falsafah aku; rasanya. Yang buat aku terus hidup. (Dia merenung jauh, sayup-sayup melihat tentera Sintrani bergerak perlahan bersiap-siap merempuh, cuma menunggu tiupan sangkakala perang. Dia menyarungkan pedangnya, lalu mengangkat busur panah yang digantung di belakang, menarik picu dan dan hujung anak panahnya lalu lepas, mendesup dan sekelip mata merentasi ruang angkasa menuju ke gerombolan tentera Sintrani) Nun, disana pasti akan ada orang yang mati, nah, mudah kan? (Beberapa detik kemudian sangkakala perang berbunyi)

Sunday, June 25, 2006

NARHANSTRA 2.4 : Aku Yang Mulia dan Agung Amar Arika, Raja Sintrani Yang Dilimpah Kurnia

Pinggang aku macam lenguh sikit. Dah lama tak menunggang kuda, dan dimangkin rupa perut aku yang seperti buah pai, membesar di bahagian pinggang dan hodoh, lemak-lemak berkumpul di situ dari makanan lazat dapur istana. Ah, sakit yang mencucuk-cucuk hingga ke belakang. Punggung dan peha juga terasa sengal menunggang kuda beberapa jam. Kalaulah nanti anak raja Sintrani yang jelita dan muda itu jatuh dalam tanganku, aku perlu buat sedikit senaman. Disiplin pagi dan petang.

Sepatutnya aku boleh duduk di istana bersenang-lenang dengan dayang dan gundik, tapi aku pun perlu juga hadir ke medan perang ini, supaya rakyat tahu bahawa aku benar-benar seorang raja yang berani, gagah dan boleh dipercayai. Aku perlu buat cameo dalam cerita rakyat, menjadi hero dalam fiksyen dan hikayat, dalam pemikiran dan mimpi mereka. Lagipun tersebar khabar angin yang tidak baik tentang peperangan ini. Tentang aku yang membuat perang ini semata-mata pinanganku untuk anaknya ditolak raja Haitur, dan aku juga dituduh membunuh biniku semata-mata supaya punya status duda untuk menikahi anak raja Haitur, menyuruh orang membakar gedung di pelabuhan sendiri supaya punya alasan untuk memerangi kerajaan Haitur. Benarkah? Ah, terpulanglah. Sama ada aku menjawab “ya” atau “tidak” tak memberi hasil dan jawapan yang berlainan akhirnya. Hidup ini permainan politik yang memerlukan orang bijak untuk mengatur bidak catur. Supaya terus hidup dan menang. Hidup ini yang paling utama adalah menang. Kadangkala kita perlu korbankan kepunyaan kita sendiri untuk menang. Bukankah begitu kawan?

Thursday, June 22, 2006

Sajak-sajak 19

KERANA IA MEMANG BEGITU

Tiada apa yang tersembunyi
di balik malam
sebalik gelap
kalau kamu percaya
satu hari nanti
kan datang cahaya
kalau kamu yakini
aku selalu di sisi
kalau kamu tak ragu
dan tak pernah jemu
dan tak pernah mengalah
dan tak mahu cuma berserah


SEPANJANG JALAN

Lebuhraya melurus
papantanda menunjukkan jalan keluar
pilihlah destinasi
aturan
dan penetapan
atau lawan ia
kalau kau percaya
kau kan mengubah dunia

Kau tak pernah tersalah
kau memilih ketentuan
tapi kau boleh berubah
kalau yakin pada Tuhan


KE KUALA LUMPUR

Petang dan matahari perlahan jatuh
Tinggalkan semuanya dibelakang
Ini jalan-jalan baru
Yang perlu aku rempuh
Angin kuat menerpa
Dada
Tinggalkan suram dan dingin desa
Mencari hidup baru
Menerjah kelabu dan biru kota
Aku fikir aku kan alah jua


SYIF MALAM
(buat zaidi)

Aku bekerja malam ini
di antara mesin-mesin besi
aku tak melihat bulan
atau neon-neon Bangsar
atau bintang-bintang
atau Bukit Bintang
Starbucks?
Kopi hitam sudah cukup
hirup hidup pahit sahaja
aku tak mahu espresso!

Osama di Al-Jazera
memberi risalah
Bush di CNN
menyampai madah
Hidup pun tak berubah
setiap hari
aku tak peduli.


MARI MENGUNDI
(buat S. Subramaniam)

kebebasan itu percuma
demokrasi punya harga


HEY!

Hey
kamu yang membuat aku gugup
dengan baju kurung biru
seperti langit luas
aku menulis di kertas
sebuah surat cinta
dengan pen biru
dan kertas biru
hey
laut berwarna biru
seperti tahu
ia warna kegemaranmu
daun biru
rumput biru
hatiku harubiru
malam pekat biru
menyedut oksigen biru
biru biru


SIAPA AKU?

Beritahu aku
bila kamu sunyi
siapa yang kamu ingati
bila melihat bulan penuh
siapa yang membuat gemuruh
bila hujan dingin
siapa yang kamu ingin
dakap?

Bila melihat bintang dilangit
aku bertanya
siapa aku pada kamu
diantara beribu


KETUK PINTU HATIMU

Tuk tuk mengetuk
jantung menggetar
berdebar
cinta ku hantar
dengan frekuensi bawah sedar
ke pintu hatimu
adakah kamu tahu?


IKUT AKU

Malam ini malam minggu
dingin dan bunga melayu
bintang hilang di balik kepak kelkatu
terbang mencari lampu-lampu
mencari cahaya
aku tak mahu merayu
pada cinta
kerana aku percaya padanya


KALAU KAU PERCAYA

Kita kongsi perasaan ini
Seperti langit yang tak membelah bahagi


(al-fatihah buat sorang kawan, M. Shukor yang telah pulang ke rahmatullah pada pagi khamis 8 jun lalu)

Wednesday, June 07, 2006

BUAT SORANG KAWAN

SEORANG KAWAN
(Mengenang seorang kawan yang sedang nazak kerana lukemia)

Seorang kawan
adalah
wajah ramah
yang menyimpan
dukalara
adalah
sebuah senyum
yang menghimpun
kekuatannya
untuk tinggalkan
di hujung
jantung
kami.

..................

Notis :

Mungkin tidak ada akses internet untuk beberapa minggu ni.