Tuesday, March 15, 2005

Sajak-sajak I

SIMPAN DALAM HATI

dan cinta
ku simpan dalam hati
sampai mati
kerna payah
goyah
cintamu itu
kekal
hanya satu
dan kebal

SENYUMLAH
senyumlah
bibirmu itu adalah
delima merah
tahukah kamu
hatiku parah?

senyumlah
tiap saat
menjadi ubat
pada sakit jiwaku
yang melarat

senyumlah
waktu baca puisi ini
kerna aku hanya ingin
mengingatkan wajahmu
tika kamu
tersenyum

SAMPAI JUMPA LAGI

Melihat kamu
dalam bayang terakhir
sebelum berangkat pergi
adalah waktu paling sukar
dan payah

melihat air matamu
yang bergenang mengalir
adalah satu mimpi ngeri
yang paling aku mau hindar
tapi payah

cuma yang dapat aku doa
sampai jumpa lagi
dalam waktu yang kita sendiri tak pasti
dan tahu.

SAAT KAMU HILANG

Berapa jauh perjalanan kita selalu jatuh
o bulan tetap bulan dengan warna dan tonanya
kalau semalam aku lewat kamu hilang
hari ini aku mati aku mati

di atas jambatan sungai lesu mengalir dibawahnya
yang ada cuma sunyi dan seekor anjing
biru dan merah warna dauh kering
gugur dari ranting kerana kita selalu menangis
mengenang pedihdan sedih
ah tiada makna cinta dan kasih sayang
kalau cuma aku seorang

marilah pelukku erat-erat dengan tanganmu
ku mau rasa dada kamu dan debarnya
kerana aku ini terlalu gusar dan takut
kalau nanti tiba banjir dan ribut
aku hanyut dibawa ke laut


BIAR BERAPA TAHUN PUN

selalu aku sedar
betapa sebenarnya amat payah
untuk aku luah
dengan kata-kata
cuma dapat ku kirim mekar
bunga-bunga puisi
supaya kamu baca dan fahami
dengan hati
semoga kamu tahu dan peduli
dan ingatibahawa aku ini
cuma inginkan kamu
seorang
tiada lain cuma kamu seorang
sungguh.
biarlah berapa lama harus aku tunggu
bertahun-tahun hingga aku bongkok dan tua
sungguh tiada siapa yang aku damba
cuma kamu cumahanya
cuma kamu cuma


CINTA RUPANYA

aku suka senyuman kamu
ia manis dan buat aku rindu
juga suka bila kamu bertutur
ia bijaksana dan selalu jujur
dan wajahmu yang bujur
membuat aku tak lena tidur
wahai.... begitukah cinta rupanya?
aku suka bila kamu ketawa
ia ceria dan membuat aku gembira
dan bila kamu sedih menangis
ada pelangi di matamu tergaris
membuat jiwa berkocak tak diam
mau ku usap moga kamu tenteram

wahai....begitukah cinta rupanya?


DIMANA-MANAPUN

Melangkaui benua dan persinggahan
terasing seorang dilambung taufan
terdampar di pulau penghujung lautan
tersesat di tengah belantara tak bersempadan
jauh aku pergi cuma cinta kamu jadi teman
walau hanya sekeping gambar dan harapan
walau hanya sebaris kata cinta
cukup buat aku untuk terus teguh
terus hidup mengharung gelora
tak peduli berapa kali aku harus jatuh
kerana seisi dunia ini bukanlah apa-apa
selagi cintaku kamu pegang kukuh
selagi cintamu menjadi penyuluh


KALAU BUKAN KERANA CINTA

Kalau bukan kerana cinta
tak mungkin aku jadi Majnun
gila kerana terluka
terumbang dalam perasaan
tumbang pada keinginan
hilang di tengah lautan

Kalau bukan kerana cinta
tak mungkin aku jadi Tuah
mengharap orang bahagia
sanggup mencederakan jiwa
memendam cintamengorban rasa

Kalau bukan kerana cinta
tak mungkin aku jadi aku
yang selalu keliru
mencari maknanya
di sebalik kata-kata puisi

TAK SAMPAI UNTUK GAPAI

Aku melihat bulan yang indah di langit sana
tergantung bercahaya dalam gelap cakerawala
bersama bintang-bintang yang menjadi dayang
indah bersinar megah mau aja ku pegang
tanpa sedar aku ini cuma manusia kerdil
atas dunia terhampar aku hanya pasir sebutir
cukuplah sekadar menjadi pengagum
takut nanti cinta menjadi racun
biarlah ku pendam rasa seorang diri
ku bawa cinta sampai mati
biarlah bergelora aku seorang yang terumbang
tumbang dan lemas tak perlu siapa bimbang
biarlah kasih ini aku sahaja yang puja
cukup bagiku untuk merasa bahagia
dan tak perlu kamu kenal aku siapa

SURAT DARI PENJARA

aku tak tidur bukan kerna amfetamine atau insomnia
bukan takut mati kerna aku akan dihukum gantung nanti
bukan sesal atas atas dosa kerna aku tau tuhan maha pengampun
tapi kerana rindu hingga sengsara aku menanggung deritanya
tolonglah kirimkan cinta walau hanya sekadar sekuntum bunga
takut aku untuk tinggal seorang dan terluka di celah besi-besi penjara
diserang sunyi tanpa ada sesiapa lagi mau memberi kasih
sendiri-sendiri dilambung sisa hidup yang yang cuma tinggal sedikit
wahai,
pinjamkanlah walau hanya sedikit cintamu yang dulu
cukuplah buat pelepas rindu sebelum maut menjemputku
tapi ambillah semula nanti bila jasadku ditanam
kerana nanti takut kamu tak dapat semula kerana aku mungkin ke neraka


NOKTAH

Buta mencari asal diri
Aku bertolak dari sini
Tempatnya dihujung jalan mati
Asalnya dari noktah
Lantai aku rebah
Pantai aku terdampar
Mencanai calar
Cinta yang terhambur
Hambar
Salah akukah dewi
Kerana aku bukan seperti yang kamu mimpi
ah, mungkin kita akan mula semula
sebagai orang yang tidaksaling kenal


LAUT DAN PARANOID

Malam larut di pinggir laut
Sepi sunyi hanya aku
Antara pasir pantai dan ombak
Dalam desir angin malam beku
Aku dingin dalam sunyi menyerbak
Membuat hati tambah keras
Walau jatuh terhempas dan lemas
Mengapa cinta datang cuma membawa malang
Bertanya untuk jawapan sendiri
Aku hilang dalam bayang-bayang
Paranoid dan ketakutan
Mencari jalan pulang
Aku ketemu binatang

TERLALU BERAT

Hujan berat lebat
Jatuh deras kasar
Angin kuat menghambat
Hati keras gusar
Jadi pahit dan kelat
Mengenang cinta terlantar
Menunggu sore dan saat
Berpisah

Malam gelap pekat
Sunyi sepi dan dingin
Sendiri-sendiri mengingat
Cinta yang jadi angin
Lenyap


PERGILAH

Dasarnya ia cuma emosi
perasaan yang melankoli
aku pun sudah dewasa dan pintar
mengenal dunia
tak mengapalah
yang dulu itu cuma
cinta remaja sekolah
sekarang aku tahu
kamu perlu baju cantik dan alat solek
aku ini realis
cinta itu tak selalu manis
tapi dunia ini bukanlah kejam
kerana beberapa waktu dalam setahun
hujan tetap turun di gurun


RAMA-RAMA

Di taman bunga
ada rama-rama
diakah yang membikin silau suria
pudar
diakah yang membikin seri seroja
mekar
dia racun atau penawar?


KU ULANG SEMUA

Jalan-jalan asing yang ditempuh
dan hutan-hutan kering aku rempuh
pekan-pekan sepi
dan kota-kota mati
hanya jadi memori
perjalanan yang selalu ku ulang semula
dalam ingatan
wajah yang aku rindu
kasih yang aku tinggal
dengan bekas luka dan kecewa
yang masih aku tanggung
siksanya
takdir orang dagang
menumpang negeri orang
siapa yang mau pandang
rupanya
ah,cinta seorang gelandangan
harganya cuma berapa


PASTI

Kelak kalau ada yang bertanya
Di mana matahari
Pasti pantas ku jawab
Di mata kamu
Kerana kini aku telah buta
merenungnya


IMORTAL

Menyatakan resah yang terpendam
melalui keping-keping puisi
yang tertanggal dari
bekas-bekas abses
cinta
dalam perang yang selalu kalah
yang tinggal cuma
kasihmu yang terus menyerbak
dari celah-celah debu tulangku
imortal
mengacau rohku
seperti salakan serigala
pada bulan
sedang kamu
sekalipun tak pernah mau
ambil tau

Wahai
mungkin satu ketika
kamu kan ketemu
satu tempat rahsia
dalam hatimu
yang telah ditanda
untukku selamanya.


TERANG BULAN

O cinta
cahayamu adalah
terang bulan
dan bila
kamu tersenyum
matilah jiwaku
dalam genggaman
malam.

O cinta
manismu adalah
terang bulan
dan bila
kamu tertawa
luluhlah pesona
suria.

O cinta
hatimu adalah
terang bulan
dan bila
kamu menangis
turunlah hujan
sedih.

O cinta
ragamu adalah
terang bulan
dan bila
kita berjumpa
ingin sahaja kupeluk
takkan ku lepaskan.