Thursday, June 22, 2006

Sajak-sajak 19

KERANA IA MEMANG BEGITU

Tiada apa yang tersembunyi
di balik malam
sebalik gelap
kalau kamu percaya
satu hari nanti
kan datang cahaya
kalau kamu yakini
aku selalu di sisi
kalau kamu tak ragu
dan tak pernah jemu
dan tak pernah mengalah
dan tak mahu cuma berserah


SEPANJANG JALAN

Lebuhraya melurus
papantanda menunjukkan jalan keluar
pilihlah destinasi
aturan
dan penetapan
atau lawan ia
kalau kau percaya
kau kan mengubah dunia

Kau tak pernah tersalah
kau memilih ketentuan
tapi kau boleh berubah
kalau yakin pada Tuhan


KE KUALA LUMPUR

Petang dan matahari perlahan jatuh
Tinggalkan semuanya dibelakang
Ini jalan-jalan baru
Yang perlu aku rempuh
Angin kuat menerpa
Dada
Tinggalkan suram dan dingin desa
Mencari hidup baru
Menerjah kelabu dan biru kota
Aku fikir aku kan alah jua


SYIF MALAM
(buat zaidi)

Aku bekerja malam ini
di antara mesin-mesin besi
aku tak melihat bulan
atau neon-neon Bangsar
atau bintang-bintang
atau Bukit Bintang
Starbucks?
Kopi hitam sudah cukup
hirup hidup pahit sahaja
aku tak mahu espresso!

Osama di Al-Jazera
memberi risalah
Bush di CNN
menyampai madah
Hidup pun tak berubah
setiap hari
aku tak peduli.


MARI MENGUNDI
(buat S. Subramaniam)

kebebasan itu percuma
demokrasi punya harga


HEY!

Hey
kamu yang membuat aku gugup
dengan baju kurung biru
seperti langit luas
aku menulis di kertas
sebuah surat cinta
dengan pen biru
dan kertas biru
hey
laut berwarna biru
seperti tahu
ia warna kegemaranmu
daun biru
rumput biru
hatiku harubiru
malam pekat biru
menyedut oksigen biru
biru biru


SIAPA AKU?

Beritahu aku
bila kamu sunyi
siapa yang kamu ingati
bila melihat bulan penuh
siapa yang membuat gemuruh
bila hujan dingin
siapa yang kamu ingin
dakap?

Bila melihat bintang dilangit
aku bertanya
siapa aku pada kamu
diantara beribu


KETUK PINTU HATIMU

Tuk tuk mengetuk
jantung menggetar
berdebar
cinta ku hantar
dengan frekuensi bawah sedar
ke pintu hatimu
adakah kamu tahu?


IKUT AKU

Malam ini malam minggu
dingin dan bunga melayu
bintang hilang di balik kepak kelkatu
terbang mencari lampu-lampu
mencari cahaya
aku tak mahu merayu
pada cinta
kerana aku percaya padanya


KALAU KAU PERCAYA

Kita kongsi perasaan ini
Seperti langit yang tak membelah bahagi


(al-fatihah buat sorang kawan, M. Shukor yang telah pulang ke rahmatullah pada pagi khamis 8 jun lalu)

1 Comments:

At 2:22 AM, Anonymous Anonymous said...

r u in love man?cool...

 

Post a Comment

<< Home