Wednesday, November 16, 2005

A new chapter : A new life

PENDAHULUAN

Hari baru telah mula. Makhluk-makhluk yang masih lagi bernafas setelah lena sebentar tadi malam akan mulai mengira waktu ini sebagai hari baru. Waktu; waktu adalah perkara paling misteri dalam hidup, ia terus sahaja berputar menyusuri hidup dan beredar tetap. Bila kamu mati, waktu akan tetap melulu dan hidup dalam perjalanan orang lain pula tanpa menunggu kamu lagi. Dan dunia ini adalah ruang untuk waktu beredar dalam hidup kamu selagi jantung masih lagi punya degupnya.

Kamu telah bangun dari ranjang. Isteri kamu telah bangun dari ranjang, juga. Malah dia telah menyiapkan kamu sarapan untuk pagi itu. Ah, cuma anak kamu yang masih melena. Tidak! Dia masih lagi punya nyawa, budak lelaki yang baru berusia sebulan itu masih lagi punya nafas dalam ruang dunia ini, masih dalam mangkuk waktu yang berputar. Si comel yang telah mengindahkan hidupmu itu, jantung hati kamu itu sedang enak bermimpi, mimpi yang dia sendiripun tidak dapat mengertikan apa-apa.

Biarkan dia, biarkan dia yang masih baru mengenal dunia ini menikmati kehidupan yang serba baru dan menikmati enaknya mimpi. Biarkan dia tidur, tak mengapa kiranya dia tak tahu tentang setiap awal pagi kamu telah bangun mencari rezeki untuk disuapkan ke mulut montelnya sedang dia masih enak beradu.

Entah kenapa tiba-tiba kamu tersenyum setiap kali mengingati si comel kemanjaanmu tiu dan isteri kamu yang cantik dan bermata redup itu ikut senyum melihat kamu tersenyum waktu dia menuangkan kopi ke dalam cawanmu. Kopi buatan tangan isterimu sendiri yang nanti menghangatkan tekakmu dan jiwamu. Kopi yang seakan menjadi dadah yang akan menyegarkan hari barumu. Yang memberi tenaga untuk kamu meredah lopak sawah, meredah hutan dan huma, meredah sungai dan paya. Kamu mau menangis.

Lantas kamu cepat-cepat memandang luar tingkap. Sayup-sayup kamu nampak banjaran gunung berdiri teguh berbaris menghalang matamu memandang horizon langit. Matahari telah bangkit tapi masih bersembunyi dibalik banjaran gagah itu sedangkan cahayanya telah merebak ke merata alam. Kamu nampak sawah-sawah yang membentang luas di hadapan banjaran itu, sawah-sawah yang masih lagi diteduhi bayang-bayang banjaran dari panahan matahari pagi dan sebentar lagi apabila matahari menunjukkan wajahnya, padang padi itu kan jadi seperti hamparan emas. Padi-padi tumbuh subur musim ini, katamu seakan-akan turut sama gembira menyambut satu nyawa baru dalam keluargamu. Dan katamu lagi sebenarnya kerana kelahiran anakmu itulah yang membawa tuah hingga subur sawah-sawah dan ladang-ladang.

Nanti bila tiba waktunya yang akan datang sedikit masa lagi, kamu mau suapkan nasi dari beras pertama yang kamu tuai padinya ke mulut anakmu. Kamu tersenyum bahagia membayangkan hari depan yang tampak indah gambarannya berilusi sedangkan sesungguhnya kamu tak pernah tau apa-apa tentang masa depan yang menanti.

Sungguh, benar kamu takkan tahu tentang hari yang mendatang sepertimana kamu tak tau beratus batu dari tempat kamu berdiri, di balik banjaran gunung yang diam itu sebuah perang besar sedang meletus. Sangkakala perang baru sahaja ditiup sebentar tadi. Gendang perang sedang rancak berbunyi dari kedua-dua angkatan yang punya kekuatan berpuluh ribu orang banyaknya.

Kamu takkan tahu sehinggalah beberapa hari nanti kalau ada orang berdagang singgah ke kampungmu membawa berita. Atau mungkin sebulan dua lagi apabila muncul beberapa orang bermuka pucat, dengan wajah kotor kurus kering dan compang-camping sesat di sawah atau mencuri ubi kayu di humamu. Pelarian-pelarian perang yang tentulah dari pihak yang kalah.
bersambung...

(ha ha, kununnya nak buat kisah epik lah ni, pengaruh LOTR la kununnya)
sila beri tunjuk ajar ye.

6 Comments:

At 10:44 PM, Blogger Abu Irfan said...

bab pendahuluan agak perlahan. tapi lepas aku baca bab 2.1 : peperangan pertama, aku jadi tak sabar nak tahu sambungannya, siapa pemuda yang di 'orang hinakan' Anjang Tung Bikhshah, dan cerita selanjutnya. terus menulis mus.

(untuk menghalang iklan2 yang menyeludup masuk ke dalam ruangan komen kau, kau boleh set supaya Anonymous tidak boleh menghantar komen).

 
At 2:20 PM, Anonymous Anonymous said...

aku main tulis atas skrin je ni, sambungan cerita menjadi masalah agak besar skang sebab takde draf kasar dan sinopsis, ha ha, kena buat dulu ah.

 
At 5:12 PM, Blogger sakinah said...

alamak..buat citer pulak?baguih baguih..akak kena print dulu ya..baru sedap baca...kalau bc kat skrin pc ni berbinau mata..teruskan usaha....hopefully akak dpt memahami bahasa kamu yg berbunga2 sbb akak ni tak reti sgt sastera2ni....hehheeh..

"teruslah berkarya"

 
At 3:55 PM, Anonymous Anonymous said...

terima kasih. saya sangat hargai.

 
At 10:59 PM, Anonymous Anonymous said...

wah..seronok ni cerita ni..ada potensi lah..ganbatte!!

 
At 2:16 PM, Anonymous Anonymous said...

Excellent, love it!
» » »

 

Post a Comment

<< Home