Monday, August 01, 2005

Sajak-sajak III

TV

Dengan limpah cahaya warna warni
ia memberi
memakbul segala mimpi
yang molek-molek
paling sempurna dan cantik
lalu indah hidup kita
dalam ini kotak terletak
ukurannya
kita sembah sebagai tuhan
kerana dunia nyata
tidak menemukan kitadengan makna bahagia


SUNYI MALAM MINGGU
(Mengenang umi)

Umi,
Katamu dulu
paling indah adalah waktu begini
malam minggu dengan bulan mengambang
sinarnya mengimbang warna gelap hidup.

Umi,
ke kota kamu bergelandang
hilang
yang dapat aku kini doa
moga hatimu terus tenang senang
walau dimana meranjang
ah, awas neon-neon yang terang
warnanya nafsu yang telanjang
bersembunyi di celah bayang.

Umi
mengenang kamu yang pernah hadir
dari longkang malam minggu yang hanyir
mohon ampun kalau aku juga
lelaki keji seperti mereka.

(Tuhan, aku tak berdaya
berikanlah dia cahaya)


TINGGALAN

Kadangkala peristiwa
lebih pedih tafsirannya
lebih sedih ungkapannya
setelah menjadi sejarah
kerana dunia telah berubah
rumah kita telah rebah
denai-denai
telah ditumbuhi lalang
anai-anai
telah membuat sarang
tiang telah tumbang
cuma memori
yang masih indah dalam mimpi


TIADA LAGI

Telah hancur jiwa
telah lebur cinta
telah luntur rasa
aku melintasi sungai hidup
dengan kolek sengsara
terumbang dan mabuk
lalu mencari bentuk
yang melenyap
menjadi asap
aku merasai kekosongan
lopong dan berlubang
aku mencari kalung
bukan untuk digantung
cuma mengikat ia menjadi rantai
pada kaki agar aku tak bisa berlari


LISTRIK

tiada lagi makna
yang terindah hanya kata-kata
yang menghidupkan
kemanisan cinta
biar ia mengalir dalam diri
menggetar hangat api
mengejutkan jiwa yang mati


MATAHARI PAGI

Hujan pejur
dari tadi malam
ada guntur
menikam-nikam
deras air mengalir
dari tanah tinggi
mencipta alur sendiri
menghanyutkan daun-daun mati
mencari sungai

pondok di hujung kampung
dihempap pokok tumbang
kera di dalam hutan
menggigil kesejukan
di ladang getah
tiada siapa menarah
ini pagi
matahari tak nampak-nampak
tapi cahayanya tetap jua menyerbak


PULANG

Ini perjalanan panjang
merentang gunung dan padang lalang
di lermbah aku rebah
di laut aku hanyut
cuma kemudiannya untuk pulang
membawa luka dan parut
cinta yang tak sempat ku rebut
ranting yang tak dapat ku paut


LATA

Aku lata
di ini kota praja
tiada siapa-siapa
bukan jua peliharaan
cuma bukan haiwan

aku lata
mengongsi lembah-lembah
tempat paling bawah
merayap-rayap untuk dipijak
menonggeng-nonggeng untuk di sepak

aku lata
tak punya makna
tiada suara
tiada nombor dan angka

aku lata
aku menanti neraka

4 Comments:

At 1:35 AM, Blogger kingbinjai said...

assalammualaikum,
nampaknya selain dari ainadilah aku juga menjadi peminat ko ahaks...anyway, aku ingin meminta izin dari empunya badan untuk link kan blog ko dalam blog aku so next time aku boleh terus je masuk blog kau untuk view hasil hasil karya kau. jika tidak menjadi keberatan... terima kasih

 
At 7:59 PM, Blogger jamrihusen said...

aku masukkan jugak alamat ko kat blog aku so next time aku boleh terus je masuk blog kau untuk view hasil hasil karya kau jugak.jika tidak menjadi keberatan... terima kasih jugak. (aha aku copy paste je. guna teknologi)

 
At 5:04 AM, Blogger abdullahjones said...

good write jamri. i like.

 
At 12:33 PM, Blogger jamrihusen said...

kata-kata dari AJ sgt bermakna bg saya. Nasihat saya silalah pergi ke blog beliau. anda akan mendapat satu pembacaan yang sangat bagus yang anda tidak akan dapat dari mana-mana penulis malaysia. (sy peminat tulisan beliau)

 

Post a Comment

<< Home