Monday, August 01, 2005

Sajak-sajak II

TIDUR DI PERAHU

tidur di perahu
di tasik bergelombang perlahan
angin menghembus kerinduan
mengangkat aku ke kayangan
dilindung langit cerah berseri
dan awan meredupkan mentari
dan burung yang berlegar
berkicau bising dan hingar
menjadi lagu kasih sayang
girang berpuisi dondang
dan ikan-ikan berhambur
ke permukaan menjulur
mencari nafas
sebelum ke dasar lekas-lekas

Tidur di perahu
beroleng-oleng bagai di buai ibu
waktu aku kecil dahulu
dodoinya adalah air berkocak
menjadi riak-riak
sebelum hilang ditelan tenang
tanpa gelombang dan ombak

Tidur di perahu
senang-lenang di sini
tiada apa yang perlu aku peduli
tiada yang harus aku kesali

KERONSANG UNTUK USTAZAH
(Buat Nur Salina)

Wajah gadis kecil itu girangnya kian terserlah
kerna hatinya tak sabar mau cepat ke sekolah
di wajahnya ada kemesraan yang menyapa
wajahnya ada kemanjaan kasih ibu dan bapa
wajahnya ada tulus hati dan molek budi bahasa
dan di koceknya ada keronsang yang menjadi hadiah
mahu nanti dia berikan pada ustazah

Hatinya girang walau itu keronsang RM dua cuma
kerana kata bapa nilai dan harga bukanlah apa-apa
asal kamu ikhlas memberi orang pasti hargai
dan dia tersenyum sendiri
membayangkan wajah ustazah nanti
dengan senyum mesra membuka hadiah kecilnya
(ah,
dengan ilmu dan didikan yang ustazah beri
ini bukanlah untuk membalas jasa dan budi
cuma sekadar menjadi ingatan
betapa jasa ustazah tidak saya lupakan)

Gadis kecil itu meninggalkan ibunya di seberang jalan
tidak sabar-sabar dia mahu menyertai rakan-rakan
melangkah cepat-cepat mengekori di belakang
sebelum tiba-tiba ada lori mendatang
kawan-kawannya bertempiaran ke seberang
malang dia tidak mampu berbuat apa-apa
dan dari bawah lori dia berlari ke syurga.


HARIMAU JADIAN

aku harimau jadian
cuma harimau jadian
bukan setan
atau harimau betul
bukan manusia
kerana aku telah jadi
harimau
harimau jadian
bukan harimau
tapi cuma jadian
belum betul-betul harimau


SENJA SUDAH DATANG

senja sudah datang
aku mau pulang
yang baik ku kenang
yang buruk kubuang
kalau malam aku sesat
pulang semula kerumahmu
bukalah pintu
aku cuma gelandangan
melarat.

Ah,
ufuk telah jingga
dengan izin yang esa
aku mohon pergi
moga kita jumpa lagi
nanti


AKU AKAN CUBA

telah aku cuba
berulang kali
jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun
dan jatuh
dan aku akan bangun
dan cubadan cuba dan cuba dan cuba dan cuba dan cuba dan cuba dan cuba dan cuba
untuk tidak jatuh
lalu kata seorang teman
kamu takkan bangun
kalau kamu tidak jatuh
dan kamu takkan cuba
kalau kamu tidak gagal.


SUNYI DAN DIAM

sepi paling sunyi
kaladiam
sepi paling diam
kalasunyi
sepi paling sunyi dan diam
kalamati.


MUSAFIR DAN FAKIR

musafiran ini
hanya diteman matahari
panas dan terik
haus
mungkin nanti aku hilang pedoman
dan pengsan (atau mati)
lalu kuadukan pada tuhan
hanya tuhan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home